Pucuk pauh delima batu
Anak Sembilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Dekat di hati dilupa jangan
Buah Perada dari Jawa
Berserta lada milik baginda
Duhai kanda belahan jiwa
Tanpa kanda tersiksalah jiwa
Ikat benang di pucuk Pauh
Pucuk Pauh di dalam dulang
Rindu mengenang orang jauh
Orang jauh bila kan pulang
Pucuk Mengkudu dipetik perindu
Sambil menyusun perhati rerama
Kekanda rindu dindapun rindu
Rindu berpantun bersama-sama
Mendengarkan bait-bait pantun di
atas, seolah-olah menggamit kembali
memori dan kenangan indah ketika berada di perantauan suatu ketika dahulu.
Kenangan terindah yang tidak mungkin dapat terluput dari ingatan walau telah
sekian lama masa berlalu. Masa berjalan dan terus berlalu tidak akan pernah
berhasil memadamkan walau sedetik apa yang pernah dirakam sebagai sejarah manis
menelusuri jalan menimba ilmu dan pengalaman di perantauan.
Sejak kebelakangan ini sering timbul
perselisihan dan kesalahfahaman mengenai beberapa isu yang mula menggugat dan
mengeruhkan suasana harmoni hubungan di antara ‘dua bangsa serumpun’ Malaysia dan Indonesia. Sering kali apabila
timbul perselisihan dan pergolakan yang mengeruhkan suasana hubungan harmoni
kedua bangsa ini, maka di dada akhbar dan media eletronik akan tersebar berita
yang tidak hanya akan dapat memulihkan keadaan, tetapi sebaliknya lebih banyak
mengeruhkan lagi keadaan. Suasana tegang semakin memuncak apabila media dari
kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain, mencari punca
kesalahan dan tidak ada usaha untuk mencari kebenaran yang sebanar dan
sewajarnya.
Rasa terpanggil untuk menulis bukan berniat
untuk mengeruhkan lagi keadaan, tetapi sangat merasa dirugikan apabila melihat
dua bangsa serumpun ini sering dicemari oleh pergolakan yang sering menguris
hati kedua-dua pihak.
Saya mungkin salah seorang yang
sangat beruntung kerana pernah diberi kesempatan untuk menimba ilmu, malah
dalam masa yang cukup panjang menimba pengalaman belajar di Republik Indonesia.
Satu penghargaan yang besar apabila berjaya menempatkan diri di salah sebuah
Universiti tersohor di negera Seberang. Universitas Indonesia, satu nama yang
cukup besar dan sangat senonim dengan dunia pendidikan di Indonesia. Tambah
manis lagi apabila berpeluang mendalami bidang sejarah Indonesia, bidang yang
sebenarnya sangat besar cabarannya buat saya sebagai seorang yang bukan berasal
dari warganegara Republik Indonesia.
Tetapi melalui pengalaman tersebut, banyak sekali ilmu dan pengalaman yang
bermaanfaat yang dapat ditimba, dikumpul dan difahami sebagai asas memahami
perjalanan sejarah bangsa Indonesia. Dalam masa yang sama, melalui pengalaman
menimba ilmu mempelajari sejarah bangsa Indonesia ini membuatkan saya sebagai
mahasiswa asing yang berkesempatan menuntut ilmu di Indonesia boleh melihat
lebih objektif bagaimana sebenarnya perjalanan sejarah bangsa Indonesia dan
pertaliannya dengan sejarah bangsa Malaysia.
Melalui pengalaman menimba ilmu
bermula dari rentetan Sejarah Zaman Kuno (Pra Sejarah) sehinggalah ke sejarah
Zaman Pasca Merdeka, tentu sekali bukan sedikit untuk dimengerti dan difahami.
Proses pembelajaran yang memakan masa hampir lebih lima tahun untuk menamatkan
pengajian Sarjana Sejarah bukan cukup mudah dan memerlukan daya uasaha dan
tingkat kesabaran yang cukup tinggi. Tapi bukan itu yang menjadi persoalan
untuk diungkapkan di sini. Perkara pokok yang menjadi topik pembicaraan di sini
ialah sejauhmanakah pengetahuan sejarah dapat memperbetulkan persepsi dan
penilaian kita terhadap bangsa. Apalagi bila kita digembar-gemburkan sebagai
suatu bangsa yang serumpun. Sejauhmana kebenaran pernyataan tersebut? Atau
ianya hanya sebagai satu retorika yang menjadi ‘pemanis kata’ untuk menunjukkan keakraban, tetapi sebenarnya masih
ada perasaan yang tersimpul di sebalik ungkapan kata tersebut.
Apa sekalipun yang berlaku dan telah
berlaku, kita tidak dapat menolak fakta sejarah yang menunjukkan kedua bangsa
serumpun ini mempunyai hubungan yang sangat erat sejak dari dahulu kala lagi.
Bila kita mengungkap kembali catatan sejarah silam, menelusuri zaman-zaman
keagungan Kerajaan Melayu Nusantara, maka tidak akan menolak kemungkinan
pertalian sejarah kedua bangsa serunpun ini akan ditemukan. Malah sebenarnya,
pertalian ini bukan sekadar hubungan biasa-biasa, tetapi tercatat adanya
pertalian darah dan persaudaraan yang cukup rapat. Saya tidak bermaksud untuk
menyingkap kembali sejarah hubungan itu secara ilmiah di sini, mungkin ada di
kalangan ilmuan dan sejarawan dari kedua-dua bangsa serumpun ini yang lebih
arif untuk membicarakannya nanti. Tapi cukup saya katakan, pertalian sejarah
masa lalu kedua-dua bangsa ini harus ditelusuri sehalus-halusnya supaya kita
akan dapat memahami dan menghargai kembali persaudaraan dan ikatan kekeluargaan
di antara kita.
Sebelum mengundur diri untuk
sementara waktu, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan
teman-teman yang telah membantu untuk saya mengenal erti sebenar pengertian
sejarah yang sebenarnya. Kepada guru-guru dan teman-teman di FSUI (sekarang
dikenali sebagai Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Indonesia), terima kasih
kerana memberi kesempatan untuk saya memahami sejarah bangsa Indonesia.
Sebenarnya tidak ada banyak bedanya, kita hanya di batasi dan dipisahkan oleh
dua bangsa penjajah yang berbeda yang sebenarnya telah sukses melaksanakan
politik ‘pecah perintah’ mereka. Sejarah
sebenarnya adalah ubat yang paling berkesan untuk memulihkan kembali penyakit
yang sedang merebak dan menjadi ‘virus’
yang boleh merosakkan hubungan dan persaudaraan di antara dua bangsa serumpun
ini. Oleh itu sebagai Sarjana yang
terdidik, marilah kita sama-sama membantu menjanakan kembali pengetahuan dan
pengertian supaya generasi masa hadapan kita akan dididik dengan sejarah yang
betul dan bermanfaat.
Samsul
Kamil Osman
Sarjana
Sejarah
Universitas
Indonesia
Angkatan
‘89
27 July 2012
No comments:
Post a Comment