Puji
dan syukur kehadrat Allah SWT di atas limpah dan kuniaNya kita dapat berdiri
megah dan gagah hari ini. Kesyukuran juga dipanjatkan kerana rahmat dan
hidayah-Nya dapat mencapai impian menjadi insan yang dapat menyumbang bakti
mendidik anak bangsa. Menjadi insan bergelar ‘GURU’ . Sesungguhnya menjadi
pendidik merupakan cita-cita yang telah lama tertanam dan ingin aku
realisasikan sebagai memenuhi harapan dan impian almarhumah ibuku yang
tercinta.
Sekarang harapan dan hasrat ibu telah berjaya aku
tunaikan, walaupun satu ketika dulu terasa terlalu tinggi sekali harapan yang
diletakkan oleh ibu terhadap diri ini. Bukan aku tidak mahu menjadi guru,
bukan juga kerana aku mempunyai impian lain yang ingin dikejar….tetapi aku rasakan
menjadi guru terlalu tinggi untuk aku capai. “Guru” terlalu hebat di mataku…..,
aku takut akan menghampakan harapan ibu…apalagi hasrat ibu yang terlalu tinggi,
ingin melihat salah seorang anaknya menjadi insan yang dapat berbakti kepada
anak bangsa. Ibu ingin sekali aku menebus anggapan dan pandangan negatif
sesetengah ahli keluarga kami. Keluarga kami selalu dipinggirkan hanya kerana
taraf ekonomi keluarga yang tidak
seberapa, ditambah lagi latar belakang pendidikan ayah dan ibuku yang tidak
seberapa, malah tidak pernah mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah.
Sesungguhnyan kedaifan hidup dan jerih perit yang dilalui
oleh kedua orangtua kami membuatkan aku insaf. Hasrat yang tinggi untuk membela
nasib keluarga dan menebus impian ibu membuatkan aku tekad belajar dan terus
belajar, walaupun ada ketikanya aku lemas dan hanyut dibawa arus.
Mengimbas
kembali zaman persekolahan, bermula dari pendidikan rendah, aku bukanlah
seorang pelajar yang berpotensi dan menjadi perhatian guru. Aku sering terkebelakang
dalam semua bidang. Mungkin faktor latar belakang kami yang datang dari
keluarga yang daif menyebabkan aku merasa rendah diri dan sukar untuk bergaul.
Ada kalanya ketika itu, aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan di sekolah.
Sekolah bagiku hanya tempat persinggahan dan tidak memberi makna apa-apa. Aku
sukar dan rasa malu untuk berkawan, apalagi rata-rata kawan-kawan di kelas
ketika itu datang dari kalangan keluarga yang sederhana dan anak orang berada. Rasa rendah
diri yang teramat dan keterlaluan itu menyebabkan aku menjadi seorang pelajar
yang pasif dan sukar untuk berfikir secara positif bila melalui proses
pembelajaran. Akhirnya aku menjadi pelajar yang sering ketinggalan di dalam
kelas.
Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II
Kuala Kangsar (SKSI II), itulah sekolah pertama yang aku jejak untuk
mengharungi alam persekolahan. SKSI II salah sebuah sekolah yang tersohor di
Kuala Kangsar, apalagi sekolah ini terletak bersebelahan dengan sekolah yang
terhebat di negara kita, iaitu Maktab Malayu Kuala Kangsar.
Maktab Melayu Kuala Kangsar terkenal. Bukan sahaja kerana namanya, tapi
sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh-tokoh negarawan yang ternama dari
dahulu sehinggalah sekarang.
Berada
di sekolah yang hebat tidak sedikitpun memberi kesan yang bermakna buat diriku.
Aku tetap sahaja seorang pelajar yang bersahaja dan tidak pernah berfikir untuk
menjadi pelajar yang Berjaya. Bagi aku, hadir ke sekolah hanya untuk mengisi
masa di samping untuk melunaskan tanggungjawab seorang anak kepada orangtua
yang mahukan anak mereka belajar dan tidak membuang masa duduk di rumah. Walaupun
pada hari pertama dihantar ke sekolah, ibu dan ayah sempat berpesan supaya aku
gigih belajar agar menjadi insan yang berguna. Tapi aku tetap bersahaja,
bagiku orang miskin seperti keluarga kami tidak akan mampu untuk berjaya lebih
tinggi, apatah lagi hambatan hidup dalam serba kekurangan menyebabkan aku selalu
ketinggalan, terutama dalam menyediakan peralatan untuk belajar. Aku tidak mampu
memiliki alat-alatan belajar seperti rakan-rakan lain, malah sering kali aku didenda
guru kerana tidak mampu menyediakan buku untuk menulis.
Sukar
untuk diterima akal, ingin membeli buku tulispun ketika itu aku tak mampu. Tapi
itulah hakikat yang harus aku telan. Itulah juga yang menjadi faktor, aku malu
dengan rakan-rakan dan guru-guru. Apa lagi ada kalanya ketika itu terdapat
guru-guru yang sering mempersendakan aku. Bagi aku, hal itu perkara biasa,
kerana sebagai orang yang datang dari keluarga yang miskin, akau harus redha
menerima apa saja yang dikatakan oleh orang lain. Itu juga yang sering
diingatkan oleh ibu kepadaku setiap kali sebelum melangkah ke luar dari rumah
menuju ke sekolah. Mungkin sebab itu jugalah mengapa ibu sering meletakkan
harapan yang tingi buat kami anak-anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh dan
keluar dari belenggu kemiskinan apabila dewasa kelak.
Mengimbas
kembali kenangan zaman berada di sekolah rendah, sebenarnya sungguh istimewa
untuk aku kenangkan kembali. Masih terbayang, bagaimana setiap pagi aku dan
abang-abangku akan bangun seawal jam
5.00 pagi. Dalam keadaan rumah yang jauh di pendalaman dan tidak mempunyai
kemudahan elektrik maupun bekalan air paip, di samping terpaksa pula bergantung
kepada pelita minyak tanah dan air perigi. Dalam kedinginan pagi, aku terpaksa
mandi di perigi yang airnya sangat dingin dan sering kami menggigil sebaik
selepas mandi pada waktu dini hari. Tapi itu sudah menjadi kebiasaan dan tak
mungkin akan dirasakan oleh anak-anak pelajar zaman sekarang.
Melangkah
ke sekolah dalam cahaya yang masih gelap dan suram. Kami tidak mampu untuk
dibekalkan dengan wang saku oleh ibu, oleh itu untuk ke sekolah harus memilih berjalan
kaki menelusuri jalan raya dan meredah ‘Padang
Polo’ sebagai laluan pintas dari rumah ke sekolah. Jarak yang ditempuh kurang lebih 25 km bukan terlalu jauh bagi
kami kerana sudah terbiasa berjalan kaki. Sesungguhnya tidak hairan kemudian
nanti aku dan abang-abangku mewarisi bakat dan mengungguli acara larian jarak
jauh setiap kali berlangsungnya kejohanan olahraga di sekolah.
Apapun
yang kami lalui, semua itu tidak pernah membuatkan aku berputus asa dan
menyalah nasib yang menimpa. Bagi
diriku, itu antara takdir yang harus dilalui, dan aku pasrah dengan ketentuan
Illahi. Tapi mungkin kerana terlalu muda dan masih belum dapat berfikir
secara matang, keinginan untuk belajar bersungguh-sungguh masih tidak dapat aku
laksanakan. Tetapi masih sahaja aku menjadi seorang pelajar yang pasif dan kurang
memiliki daya usaha untuk mencipta kejayaan. Sering kali dalam peperiksaan aku
akan jauh ketinggalan jika dibandingkan dari
rakan-rakan yang lain, malah sering kali juga aku berada di kedudukan
tercorot di dalam kelas.
Sehingga
tamat belajar di sekolah rendah, kemampuanku dalam pelajaran sangat sederhana.
Aku tahu, ibu dan abah mungkin sangat kecewa kerana anak-anak mereka gagal
berprestasi baik dalam pelajaran. Mungkin saja ketika itu aku menyalahkan
factor kemiskinan keluarga yang menyebabkan kami tidak berprestasi. Tapi aku
sedar, ibu dan abah telah berusaha memberi yang terbaik dan apa yang termampu.
Tapi semuanya belum cukup untuk memenuhi keperluan kami anak-anaknya ketika
itu. Masakan kami boleh belajar dengan baik, sedangkan yuran sekolah dan
membeli alat keperluan untuk belajar saja kami belum mampu seperti rakan-rakan
lain. Ada kalanya kami ke sekolah hanya beralaskan air teh tidak bergula atau
saja air putih tanpa mencicipi sarapan pagi seperti anak-anak lain. Bagaimana
mahu belajar dengan baik, kerana pemakanan sebenarnya memainkan peranan
penting untuk melahirkan minda yang sihat.
Tapi
satu yang aku sangat bangga dengan apa yang telah ibu dan abah tunaikan
terhadap kami ialah, walaupun dalam kesusahan dan kepayahan, kami tetap
diberi ruang dan peluang untuk meneruskan alam persekolahan. Pesan ibu yang masih aku
ingat sehingga kini.:
“Mak
hanya mampu membekalkan pelajaran dengan menghantar kalian ke sekolah. Mak tak
mampu beri harta dan kekayaan . Jika kalian ingin menjadi orang yang dipandang
mulia dan berharta, carilah dengan
belajar bersungguh-sungguh. Mana tahu ditakdirkan tuhan nanti ada anak mak yang
akan berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan terpelajar dan berjawatan
tinggi. Kalau panjang umur bolehlah mak menumpang tuah kamu nanti. Paling tidak
mak akan berbangga kerana ada di antara kamu yang akan menebus maruah keluarga
dan mengenepikan kata orang yang mak tak mampu dan tak pandai mendidik
anak-anak. Buktikan walaupun abah dan mak buta huruf, bukan bermakna kalian
anak-anak mak tak mampu belajar hingga ke hujung dunia”
Itulah antara pesanan ibu yang akan
terus terpahat dan akan aku abadikan buat selama-lamanya. Pesanan itu jugalah
yang menjadi pencetus untuk aku menggapai impian mengejar kejayaan sehingga
akhirnya berjaya melangkah kaki ke menara gading. Sesungguhnya aku sedar,
kemiskinan bukan alasan untuk kita tidak mampu meraih kejayaan, tetapi mungkin
sahaja kemiskinan akan menjadikan kita orang yang tidak akan berputus asa dalam
mengejar impian.
Walaupun terlewat mengecapi kejayaan,
tetapi aku bangga kerana dapat menunaikan hasrat ibu dan abah yang ingin
melihat anak mereka berjaya sebelum menutup mata.
Buat almarhumah bonda tercinta Jaleha
bt. Atim dan almarhum ayahanda Osman bin Ibrahim, terima kasih kerana telah
membesar dan memberi didikan yang sempurna buat anakanda. Doa kami anak-anakmu
semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kalian. Semoga kalian berdua ditempatkan
di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin…….Al-Fatihah…..
SAMSUL KAMIL BIN OSMAN
Teratak Shamida,
Baling, Kedah……
01 Ogos 2012
No comments:
Post a Comment