Thursday 8 September 2011

Catatan Perjalanan Mahasiswa UI

“Permata Hati”

Sinar mentari pagi memancarkan cahayanya lagi menerangi siang dan seolah-olah akan ada khabar gembira untuk dikongsikan bersama hari ini. Kembang dan bunga-bunga di taman seperti juga hari semalam terlihat bersorak gembira dan menguntum senyuman bila mentari hadir menghadiahkan sinar cahaya. Nyanyian unggas dan kicauan burung yang nyaring lagi lemak merdu menjadi santapan halua telinga yang sangat indah untuk dihayati apalagi untuk dinikmati menjadi penawar setiap hati yang lara. Mendengarkan irama lagu siulan sang burung dan sang unggas…, menatap lambaian pohon-pohon yang subur menghijau di hutan dan terhidunya haruman wangian bunga-bunga yang mekar di taman, hati mula berdetik akan ada khabar gembira menjadi tawanan.

Sangkaan dan dugaanku ternyata menjadi kenyataan. Sebelum berangkat ke kampus tadi aku teringat akan pesanan yang Ida titipkan melalui surat kirimannya yang aku terima semalam. Pesanan itu aku semat jadikan ingatan dalam benak akal dan fikiran. Antara bait-bait kata yang menjadi pesanan:

“Kekandaku sayang, minggu ini genaplah usia kandungan adik sembilan bulan. Banyak-banyakkanlah berdoa semoga anak kita yang bakal lahir ini akan selamat dan adik juga tak akan menghadapi banyak dugaan dan rintangan. Walaupun tanpa kekanda, adik tidak akan merasa berduka, adik tahu doa kekanda akan selalu bersama adik di saat suka dan duka. Adik redho akan segala ketentuan Ilahi, adik bahagia kerana anak ini anugerah yang akan menjadi penyeri hidup kita nanti. Doakan keselamatan untuk adik dan anak kita ini…..InsyaAllah semuanya akan baik-baik seadanya nanti, tunggu saja khabar baik dari kami di sini….”

Hatiku terdetik seketika…., lalu teringatkan isteriku yang tercinta. Mungkin saja hari ini, atau juga bisa saja semalam anak kami telah selamat dilahirkan oleh isteriku ke dunia. Aku melangkah laju menuju Wartel (warung telefon) ke Gedung Rektorat UI untuk membuat panggilan terus ke Liverpool. Paling tidak tentu ada khabar dari teman-teman isteriku tentang perkembangan terkini di sana. Dalam hati tetap saja berdebar-debar, maklum saja aku sudah semakin hampir untuk menjadi seorang ayah. Aku sudah bakal menjadi seorang bapa dan bakal menimang cahayamata walaupun sebenarnya semua itu hadir seperti dalam mimpi walupun aku berada di alam nyata. Mana tidaknya, aku terpisah dengan isteriku ketika usia kandungan anak kami baru mencecah 2 minggu. Aku tidak pernah merasakan keperitan dan melihat dengan mata kasar perubahan fizikal pada diri isteriku ketika membuyung perut membawa kandungan anak kami. Semua itu hanya aku lihat dan tatap dari jauh, dari lakaran cerita tulisan isteriku melalui surat-surat yang dikirimkan tanpa suara…., melalui gambar-gambar terlihat kaku tanpa aku bisa merasakan sentuhan dan rasa, hanya dikepilkan dalam setiap surat yang dikirimkan untuk ditatap dan dibaca sahaja.

Sampai saja di Wartel Rektorat UI, aku langsung membuat panggilan ke Liverpool. Harapanku akan ada khabar gembira bakal aku dengar hari ini. Panggilanku dijawab oleh suara yang aku pasti bukan isteriku. Hatiku semakin berdebar, tentu saja ada khabar baru bakal ku dengar nanti.

“Assalamualaikum, boleh bercakap dengan Nurul, I suami dia dari Jakarta,” Ucapan pertama yang keluar dari mulutku sebaik saja telefon dianggat untuk dijawab.

“Waalaikumsalam, Sham ye, saya Rubi kawan Nurul. Nurul tak ada di rumah, semalam dia masuk hospital, Rubi sorang je kat rumah sekarang, kawan-kawan yang lain semua kat hospital temankan Nurul,” Suara Rubiah teman serumah Ida membuatkan aku semakin berdebar-debar menunggu khabar tentang isteri dan anakku.

“Sham, tahniah….you all dapat baby lelaki comel sangat. Nurul selamat bersalin subuh tadi 2.00 pagi, bersalin normal, berat baby 4.1 kg. Sekarang ni masih kat hospital lagi, tapi baby dan mamanya sihat-sihat je,” kedengaran nada suara penuh gembira Rubi menyampaikan berita baik itu kepadaku.

“Alhamdulillah…., terima kasih Rubi, sampaikan juga ucapan terima kasih Sham buat kawan-kawan yang lain, semoga Allah s.w.t sahaja yang dapat membalas jasa kalian menjaga Nurul sejak dari mula di mengandung sampailah dia selamat melahirkan anak kami….sampaikan juga salam sayang Sham buat Nurul dan anak kami ye,” Aku menitipkan pesan untuk disampaikan pada teman-teman dan juga isteriku yang tercinta pada Rubi.

Alieff beberapa minit selepas dilahirkan

Sesungguhnya aku rasakan tidak ada berita yang lebih baik dan lebih indah yang pernah aku terima selain dari khabar tentang kelahiran anak pertama kami. Aku seperti ingin saja menjerit supaya semua orang tahu, bahawa hari ini aku telah menjadi seorang ayah. Isteriku telah melahirkan seorang bayi lelaki, yang tentu sahaja kehadirannya akan lebih mengukuhkan ikatan cinta dan kasih sayang di antara kami nanti. Sesungguhnya tiada hari yang lebih indah kalau nak dibandingkan dengan hari yang aku lalui sekarang. Dunia ini terasa sangat terang dan penuh bermakna. Aku merasakan seperti telah menjadi seorang insan yang sangat sempurna. Kalau dulu aku bahagia kerana ada isteri menjadi inspirasi dan pendorong mengejar cita-cita. Hari ini lebih lengkap lagi, kerana aku telah dikurniakan seorang putera yang bakal menjadi permata hati dan penyeri dalam hidup kami suami isteri apabila pulang setelah tamat kuliah nanti.

Ketika pulang aku berlari untuk cepat sampai ke kost. Aku ingin cepat berkongsi berita gembira ini dangan Pak Niin, Ibu Aminah dan juga teman-teman kostku yang lain. Aku mahu mereka tahu, hari ini aku telah menjadi seorang ayah. Aku telah mendapat seorang putera, yang bakal mewarisi keturunanku….Aku adalah seorang insan yang paling beruntung kerana dianugerahkan permata yang paling berharga dalam hidup.

Sampai saja di kost penginapan, aku terus menjerit lalu memanggil-manggil nama ibu dan bapak. Anak-anak kost dan tetangga di sekitar kawasan kost kami kebingunggan melihat reaksiku yang dianggap aneh dan luar dari kebiasaan.

“Ada apa aja nak Sam, kok kelihatanya gembira amat yah?” Tegur Pak Maman tetangga Pak Niin yang kebetulan lewat di depan kost kami.

“Pak Maman, hari ini saya dapat anugerah besar, isteri saya di Inggeris selamat melahirkan anak pertama kami,” Aku menjawab merungkaikan persoalan yang ada di fikiran Pak Maman.

“Aduh!! Udah jadi ayah kamu sekarang nak Sam, selamat ya…..bapak juga ikut bahagia ni,” Pak Maman mengukirkan senyum tanda turut gembira mendengar berita gembira dari aku.

Suasana di kawasan rumah Pak Niin mula menjadi riuh dan ramai dengan kehadiran tetangga dan juga teman-teman kost yang berkumpul untuk menyampaikan ucapan tahniah atas kelahiran anak pertama kami. Suasana seperti anak kami itu sedang berada di kawasan sekitar rumah Pak Niin saja, sedangkan pada hakikatnya aku sendiri tidak bisa melihat bagaimana rupa anakku yang baru lahir itu. Tapi aku tidak dapat menutup hakikat rasa gembira dan bersyukur yang teramat sangat dengan kelahiran anak kami itu, walaupun aku hanya mengetahuinya lewat telefon dan pesanan dari kawan Ida sebentar tadi.

“Sam, malam ini bapak sama ibu rencana mengadakan majlis kesyukuran menyambut kelahiran anakmu ya. Kita kumpulkan teman-teman elo dan tetangga sekitar sekalian kita adakan majlis tahlil dan bacaan doa kesyukuran. Biayanya biar ibu sama bapak aja…, anak Sam juga cucu kali lho,” Ibu Aminah mencadangkan untuk dibuat majlis kesyukuran untuk menyambut berita kelahiran anak kami.

“Terima kasih Ibu, saya ikut apa yang terbaik saja dari Ibu dan Bapak…., terima kasih sekali lagi Ibu,” aku menyampaikan penghargaan dan rasa terharu dengan cadangan Ibu Aminah itu.

Alieff ketika berusia 1 hari

Sesungguhnya tidak ada satu anugerah yang paling besar, tidak ada hadiah yang paling bernilai, tidak ada kegembiraan yang paling bermakna, tidak ada kata-kata pujian yang paling indah untuk diucapkan selain mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t di atas segala limpah dan kurnianya kepada kami. Anak adalah angerah yang paling besar dan paling bermakna yang diamanahkan oleh Allah s.w.t kepada aku dan Ida saat pertama kami menerima kehadiran putera tercinta. Walaupun aku tidak dapat menatap wajah anak kami saat dia dihadirkan di muka bumi ini, tapi aku telah berikrar tidak akan sekali-kali mensia-siakan amanah yang dititipkan oleh Allah kepada kami. Aku berjanji, akan menghadiahkan sesuatu yang sangat bermakna untuk anak ini nanti. Aku dan Ida akan menebus segala kekurangan yang terpaksa dilalui oleh anak ini sepanjang sembilan bulan berada di dalam kandungan ibunya. InsyaAllah, anak ini akan kami didik sebaik-baiknya nanti, kerana kehadirannya di dunia ini memberikan seribu satu kenangan yang tak mudah sebenarnya untuk dilalui dan dihadapi tanpa ada kecekalan dan keberanian terutama buat ibunya yang sangat tak ternilai jasa dan bakti yang telah diberi. Pengorbanan yang sangat tak ternilai dan tak bakal dapat digambarkan kembali apalagi kalau mahu dihitung dengan masa, keringat, wang ringgit apalagi airmata yang mengalir tak pernah terhitung banyaknya.

Putera pertama ini kami namakan Mohd Alieff Shamida, nama yang memang telah lama kami siapkan sebagai persediaan untuk menerima anugerah yang bakal dititipkan oleh Ilahi kepada kami. Sesungguhnya memang kehadiran Mohd Alieff Shamida adalah anugerah teristimewa yang telah membawa titik perubahan dalam hidup kami. Mohd Alieff bermaksud Hamba Allah yang Akhrab iaitu memberi maksud lahirnya Alieff diharapkan akan lebih mendekatkan dan merapatkan rasa kasih dan sayang di antara kami suami isteri. Alieff adalah menjadi tali ikatan yang tidak bakal memisahkan kasih di antara kami suami isteri. Shamida pula adalah gabungan nama kami berdua Sham dan Ida, diletakkan dihujung nama setiap anak kami sebagai tanda ikatan kasih yang tidak berbelah bagi dan menjadi tali penyambung kasih sayang di antara kami sekeluarga.

Kehadiran Mohd Alieff Shamida menjadi sinar yang membawa cahaya kebahagian yang menerangi hari-hari yang bakal kami lalui selepas ini. Mohd Alieff Shamida menjadi pengikat kasih sayang yang juga menjadi pendorong terbesar dalam perjalanan kami menempa kejayaan mengharungi masa depan dengan cekal dan berani. Alieff Shamida anugerah yang tak ternilai yang hadir di saat-saat kami getir mengharungi masa depan yang belum begitu pasti, tapi kami lebih yakin bila dia hadir bersama disisi. InsyaAllah setiap anak yang dianugerahkan ada rezekinya sendiri. Anak ini bakal hadir dengan membawa sinar yang bakal mengubah masa depan dan hidup kami di suatu hari nanti.

Mohd Alieff Shamida kau permata hati pertama kami.

Kau menjadi sinar menerangi hidup ini

Kau membawa cahaya menceriakan keluarga ini

Kau menjadi penawar menghapuskan segala duka dan lara kami.


Samsul Kamil Osman ,

Teratak Shamida,

8 Ogos 2011

No comments: