Wednesday 7 September 2011

Catatan Perjalanan Mahasiswa UI


“Sinar Baru”

Hari ini ada cahaya yang memancarkan sinar menerbitkan rasa gembira kepada setiap insan yang telah lama mengimpikan saat-saat bahagia hadir dalam hidup mereka. Sinar cahaya yang menjelmakan suria yang dapat mengukirkan bibit senyuman kepada sesiapa sahaja yang telah lama mengharapkan kehadirannya. Sinar suria yang dapat mengusir rimbunan awan gelap yang telah menyelubungi langit dan menyuramkan suasana hari-hari yang berlalu. Sinar suria yang dapat menyegarkan kelopak kembang dan bunga yang kembali mekar dan menguntum senyum menyambut hadirnya kumbang yang datang untuk kembali menawan hati yang telah lama terbiar sepi.

Hari ini cahaya suria juga hadir untuk membangkitkan semula semangat aku untuk terus mencoretkan sesuatu yang dapat mengambalikan kenangan-kenangan terindah yang pernah hadir menghiasi perjalanan hidupku. Hari ini sepertinya aku mendapat kekuatan baru untuk meneruskan catatan supaya dapat ditatap oleh sesiapa saja sebagai pengisi masa yang tersenggang. Semoga saja, akan ada bait-bait kata indah yang bakal hadir mengiringi jalan tulis cerita supaya keindahan bahasa akan dapat dirasai dan dihayati bersama, dan cerita akan menjadi tampak lebih terkesan dan bermakna untuk semua.

Sinar bahagia terpancar dalam hidup apabila hadir saat yang terindah yang sebelumnya tidak pernah kita impikan akan hadir dalam hidup kita. Itulah antara kenangan terindah yang pernah aku lalui dalam hidup ini apabila menutup zaman mahasiswaku di Universitas Indonesia. Memang, dapat kesempatan belajar dan menimba ilmu di UI saja sebenarnya sudah cukup besar maknanya dalam hidupku. Tapi ada yang lebih dari itu, apabila dipenghujungnya aku telah dianugerahkan penghargaan yang sangat bermakna, yang sebenarnya hadir walaupun sebelumnya tidak mampu aku lahirkan walaupun hanya dalam angan dan mimpi-mimpiku. Inilah anugerah dan kebesaran Ilahi, kita sebenarnya tidak akan dapat menduga sesuatu yang bakal terjadi, sehinggalah ianya benar-benar hadir dan terjadi dalam hidup kita.

Tahun 1994 merupakan masa-masa yang banyak memberi kenangan terindah dalam hidupku. Setelah hampir lima tahun bergelumang dan bertungkus-lumus mengharungi pelbagai ranjau dan dugaan menjadi mahasiswa di perantauan akhirnya aku berjaya sampai ke penghujungnya. Bermula dari seorang yang sederhana, serba kekurangan dan selalu mengharapkan bantuan serta belas kasihan rakan-rakan seangkatan untuk merangkak-rangkak mencari ruang untuk mencipta kejayaan yang diimpikan. Kemudian dari hari ke hari…., bulan ke bulan…., tahun ke tahun…, akhirnya berkat doa orang tua dan keluarga di kampong, rakan-rakan yang tak jemu-jemu memberi bantuan, dosen-dosen yang tak putus-putus mencurahkan ilmu tanpa batas dan dorongan kekasih hati dan kemudiannya menjadi isteri tercinta yang menguatkan semangat, aku berhasil lulus semester terakhirku dengan predikat terbaik. Satu catatan sejarah buat aku sebagai anak Malaysia di FSUI.

Sebenarnya aku tidak pernah terfikir bahawa kejayaan bakal menjelma di akhir-akhir masa kuliahku. Apa lagi sebenarnya dihujung zaman mahasiswaku begitu banyak sekali cabaran yang terpaksa aku lalui. Tapi itu semua sebenarnya adalah risiko yang aku ambil kerana kemahuan dan jalan yang aku pilih sendiri. Setelah mengharungi pelbagai liku dan pengalaman dalam dunia percintaan, akhirnya aku memilih untuk menamatkan zaman bujangku dengan menyunting kekasih hatiku Ida yang ketika itu sedang menuntut di Liverpool, England untuk menjadi isteri yang bakal menjadi pendamping hidupku. Kami telah melangsungkan pernikahan sewaktu pulang bercuti semester setelah mendapat restu keluarga dan persetujuan dari JPA sebagai penaja pengajian kami. Maka berakhirlah episode cinta yang telah sekian lama kami harungi bersama dan bermulalah episod kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang sebenarnya lebih besar cabaran dari zaman sebelumnya.

Bergambar selepas Majlis Akad Nikah

Selepas bernikah sebulan, aku kembali ke Jakarta untuk meneruskan pengajian dan Ida pula pulang ke England untuk meneruskan pengajian tahun akhirnya di Liverpool John Moores University Liverpool. Maka bermula episode getir yang terpaksa aku dan Ida lalui, sebelum kami berangkat kembali untuk meneruskan pengajian masing-masing, kami dikejutkan dengan satu khabar gembira, tetapi juga sebenarnya merupakan khabar yang memberi banyak persoalan susulan kemudiannya. Kami dikejutkan apabila doktor yang membuat pemeriksaan ke atas Ida memaklumkan bahawa isteriku sudah menunjukkan tanda-tanda mengandung anak pertama kami. Itu merupakan kejutan yang besar buat kami saat itu, tak dapat nak digambarkan perasaan kami saat itu, gembira kerana akan menerima cahayamata, tapi juga berduka kerana kami terpaksa saling berjauhan dan tak dapat menghurungi hidup sebagai pasangan suami isteri dalam ertikata yang sebenarnya. Apabila terpaksa berjauhan dalam jangka masa yang panjang dan dalam jarak yang sangat jauh sehingga tidak memungkinkan kami untuk bertemu sehinggalah Ida menamatkan pengajian di Liverpool. Itu juga bermakna, aku tidak akan dapat bertemu Ida sepanjang dia mengharungi masa mengandungkan anak kami sehingga anak sulung kami itu lahir ke muka bumi ini.

Ida dan teman-teman di Kampus Liverpool John Moores University

Satu situasi yang sangat sukar terpaksa kami lalui dan pilih saat itu. Tapi aku dan Ida bertekad, itu bukan satu halangan yang akan mematahkan semangat kami untuk menggenggam segulung ijazah. Itu juga bukan bermakna kami harus mengabaikan cita-cita dan memenuhi impian orang tua kami yang ingin melihat kami berjaya dalam pelajaran. Kami juga tidak mahu menjadi pengkhianat yang akan mensia-siakan amanah dan peluang yang diberikan oleh kerajaan yang menaja segala biaya pengajian kami selama ini. Tapi pada saat yang sama kami juga tidak mahu mengorbankan cinta dan kasih sayang yang telah kami pupuk dan semai sejak sekian lama. Kami juga sayangkan anak yang telah dititipkan sebagai anugerah Ilahi untuk menyerikan hidup kami kelak nanti. Anak itu adalah anugerah dan amanah yang harus kami terima dan kami syukuri atas kurniaannya dari Ilahi.

Akhirnya kami memilih jalan yang sangat berani tetapi penuh pasti. Aku harus kembali ke UI untuk meneruskan pengajianku. Aku berikrar akan lebih kuat, tekun dan bersemangat untuk mengejar kejayaan kerana aku kini telah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dipikul setelah lulus dan pulang nanti. Aku tidak boleh menoleh ke belakang lagi, harus terus melangkah ke depan dan berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang supaya dapat aku anugerahkan kepada isteri dan anakku yang bakal lahir nanti. Itu ikrarku…., tidak boleh tidak tapi harus pasti…


Gambar Ida di Liverpool ketika kandungan anak kami berusia 8 bulan

Ida pula harus kembali ke Liverpool dan menamatkan pengajian tahun akhir dengan cabaran yang cukup besar kerana di samping mengejar impian menamatkan pengajian, dia juga terpaksa mengharungi cabaran membawa kandungan anak pertama kami tanpa ada suami atau keluarga terdekat yang akan membantu dan menemani. Itu bukan satu yang mudah untuk kami harungi, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dilalui, apalagi buat Ida yang terpaksa setiap hari berulang-alik dari rumah sewa ke kampus dengan berjalan kaki yang jaraknya lebih dari 10 km. Tapi itulah hakikat yang harus kami lalui saat itu, kejayaan dalam pelajaran tetap menjadi keutamaan, tapi cinta dan kasih sayang tidak sekali-kali akan kami abaikan.

Hari-hari yang berlalu silih berganti, kesibukan kuliah dan kehidupan sebagai mahasiswa yang ada kalanya tidak mengenal adanya batas waktu dan masa, membuatkan masa begitu cepat berlalu. Tapi aku dan Ida tidak pernah merasa ada waktu kami yang terabaikan begitu saja. Ida walaupun sibuk menyiapkan projek akhir sebagai tugas untuk mendapatkan ijazah masih tetap ada waktu untuk mengirim surat dan tak lupa diselitkan dengan gambar-gambar untuk melepaskan rasa rindu aku padanya dan anak kami yang dikandungnya. Dalam surat itu juga diceritakan setiap perkembangan dan perubahan yang terjadi terhadap kandungannya dan juga pergerakan anak dalam kandungannya.

Begitu juga dengan aku, menulis surat dan mengirimkannya sudah menjadi kemestian bagiku. Selang setiap dua hari aku pasti akan mengirim surat dan bertanya khabar dan juga menyampaikan khabarku ke pada Ida. Sampai sekarang surat-surat itu masih kami simpan sebagai kenangan. Ada kalanya akan kami baca ulang untuk melepaskan rasa rindu, apabila posmen tidak datang untuk menghantarkan surat di keesokkan harinya. Begitu juga dengan surat-surat dari Ida, sampaikan posmen tukang penghantar surat itu sudah kenal sangat denganku, kerana aku merupakan satu-satunya mahasiswa yang setiap minggu akan menerima kiriman surat dari Inggeris (England), apa lagi Ida sering mengirimkan juga buatku bungkusan hadiah berupa jersey kelab pasukan bola sepak England yang sangat terkenal seperti Liverpool FC dan Manchester United FC.

Tapi cabaran sebenarnya masih jauh, kami masih menunggu-nunggu lahirnya anak pertama yang bakal menjadi pengikat kasih dan cinta sayang di antara kami berdua. Setiap hari aku akan menunggu kehadiran surat-surat dari Ida setiap kali balik dari kampus. Surat-surat dan gambar-gambar yang diselitkan dalam surat itu seperti menjadi satu kekuatan untuk aku lebih gigih belajar. Setiap kali selepas membaca dan menatap gambar yang dikirimkan, aku akan sangat bersemangat untuk mentelaah buku atau meyelesaikan tugas-tugas kuliahku. Melihat kepada pencapaian hasil peperiksaanku juga memperlihatkan peningkatan yang sungguh memberangsangkan. Selepas berkahwin dan bakal menjadi seorang bapa, hampir semua mata kuliah yang aku ambil mencatatkan nilai ‘A’, suatu peningkatan dan pencapaian yang sungguh luar biasa dari sebelumnya. Disebabkan peningkatan tersebut, aku selalu mendapat pujian dari dosen-dosen dan juga teman-teman dekatku.

Inilah yang dinamakan rezeki mungkin, rezeki isteri dan anakku yang bakal lahir tak berapa lama lagi. Aku berjanji akan menghadiahkan sesuatu yang istimewa sempena kelahiran anak kami itu nanti. Aku ingin buktikan bahawa, memilih untuk bernikah semasa masih menjadi mahasiswa itu bukan satu halangan untuk mencipta kejayaan. Tapi merupakan satu dorongan dan perangsang yang lebih kuat untuk mendapatkan kejayaan yang lebih cemerlang dan membanggakan.

Sesungguhnya aku sangat bersyukur kerana Allah s.w.t telah memberi sinar baru dalam hidupku. Aku bersyukur kerana Allah s.w.t telah mengurniakan seorang isteri yang cekal, tabah, kuat dan sentiasa kaya dengan senyuman walaupun berada dalam keadaan yang sukar sehingga memberi kekuatan untuk kami terus mengharungi hari-hari yang mendatang. Aku juga bersyukur kerana Allah s.w.t telah mengurniakan kami anak dalam usia kami yang masih muda, supaya kamu sedar bahawa amanah itu adalah satu tanggungjawab yang tidak harus kami sia-siakan. Tapi perjalanan sebenarnya masih panjang, aku dan Ida masih perlu melunaskan banyak hal terutama untuk mendapatkan kejayaan dalam pelajaran dan menjaminkan masa depan yang sempurna untuk anak kami yang bakal lahir nanti.


Samsul Kamil Osman

Teratak Shamida, 7 Ogos 2011

No comments: