Tuesday 23 August 2011

Catatan Perjalanan Mahasiswa UI

“ Memori ”

Di langit kelihatan suram kerana dilingkari oleh gerombolan awan-awan hitam yang menutupi ruangan. Kesuraman juga dirasakan menyelubungi seluruh bumi yang menantikan adanya sinar cahaya suria yang akan dipancarkan melalui celahan awan. Tetapi sepertinya ada tanda-tanda kehampaan, bila suria yang diharapkan membawa sinarnya tidak dapat menghadirkan diri kerana dihalang oleh awan hitam yang menutupi langit. Sepertinya akan ada yang menangis nanti bila sinar suria tak akan menjelmakan diri seandainya awan hitam tidak mau berarak pergi. Pastinya akan ada yang bersedih, bila mentari yang ditunggu untuk menerangi hari tidak muncul seperti yang dinanti.

Akan pastinya nanti terdengar suara merintis kerana hajat tak dapat dipenuhi…Akan nanti ada yang menangis kerana yang ditunggu tidak datang memunculkan diri…. Akan ada yang bersedih kerana bunganya layu tak sempat menjadi penyeri di taman hati…. Akan ada juga nantinya yang menjadi penunggu, tapi semuanya seperti tak pernah pasti…. Akan ada juga nanti yang akan menyerah kalah, kerana kecewa tak pernah dipedulikan lagi.

Itulah antara bait-bait ayat yang cuba aku terjemahkan untuk menggambar kerinduanku kepada masa lalu yang telah aku tinggalkan. Itulah juga antara bait-bait ayat yang cuba aku lafaskan untuk menyatakan betapa aku sangat-sangat mengharapkan suatu masa nanti aku masih boleh bertemu kembali dengan insan-insan yang pernah bersama menempuh cabaran…., cabaran masa lalu yang penuh dangan ranjau dan dugaan.

Tetapi semua itu masih belum ada kepastiannya. Aku masih ragu-ragu apakah segala impian itu akan dapat ku tunaikan menjadi kenyataan. Aku masih keliru, apakah semua kenangan lalu itu masih segar dalam ingatan. Aku masih menunggu apakah teman-teman yang lain juga menginginkan satu pertemuan. Hatiku masih bertanya-tanya apakah perlunya satu pertemuan yang dapat merungkaikan segala kenangan…., apakah perlunya satu pertemuan yang dapat meleraikan kerinduan…. Apakah pertemuan itu perlu untuk menjadi titik penyelesaian…., penyelesaian kepada sebuah kerinduan…., pertemuan yang nantinya dapat merungkaikan segala persoalan yang sebelumnya tidak sempat diselesaikan.

Hati kecil ini masih saja ingin terus bercerita. Mengungkit masa lalu yang sudah tersimpan menjadi lipatan sejarah. Mencari cerbisan kisah yang pernah mencuit rasa, menjadi memori terindah tapi mulai hilang dari ingatan kerana dimamah usia.

Aku tidak mampu menghapuskan rasa….., aku tak mampu untuk menolak seandainya akan ada rasa cinta…, aku tak mampu berkata tidak, jika ada hati yang akan terluka…., aku juga tak pasti apakah ada hati yang pernah kecewa…., tapi aku yakin masa lalu tak pernah berdusta…., masa lalu akan selalu membukakan mata…., masa lalu tak pernah menutup pintunya…..masa lalu sentiasa siap dengan segala macam cerita. Cuma kita saja yang harus pandai memilihnya, supaya masa lalu tak menyebabkan lahirnya rasa kecewa.

Masa lalu seharusnya menghadirkan rasa bahagia. Masa lalu seharusnya membuat kita melupakan sengketa….., masa lalu seharusnya menukarkan benci menjadi cinta…., duka menjadi bahagia…., menangis diganti ketawa…, gelita menjadi bercahaya…., hidup yang derita bertukar dengan segala nikmat hidup yang penuh bahagia…..

Nikmatilah masa lalu…..kerana masa lalu akan membuatkan kita merasa selalu ‘muda’….masa lalu akan membuatkan kita tak pernah akan ‘tua’, walaupun kita sudah mula dimamah usia….

Teratak Shamida

24 Ogos 2011

No comments: