Monday 22 August 2011

Catatan Perjalanan Zaman Mahasiswaku....

Ramadhan di Tanah Seberang

Alhamdulillah, hari ini Ramadhan masuk hari yang ke-22. Bermakna kita sudah berada di hujung musim. Hari-hari di mana malamnya kita semakin semarak mengerjakan ibadah untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Hari yang malamnya kita nantikan kedatangan ‘Lailatul Qadar’, agar kita menjadi insan yang dipilih mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.t.

Ramadhan bulan ibadah, bulan yang penuh dengan hidayah dari Allah s.w.t, juga bulan yang mencatatkan banyak sejarah, sejak dari zaman Islam yang dibawa oleh Rasullullah sehingga zaman Islam menguasai seluruh bumi Allah, membawakan peristiwa memperkukuhkan ummah.

Catatan kisah kali ini ingin mengimbas kembali kenangan kali pertama menjalani ibadah puasa Ramadhan di Tanah Seberang, lebih tepatnya ketika berada di tahun pertama sebagai mahasiswa Universitas Indonesia di Depok, Jawa Barat. Tentu sekali tak semua pengalaman dapat diingat kembali untuk diceritakan secara terperinci, tapi rasanya cukup disisipkan beberapa peristiwa yang menjadi kenangan yang dapat dikongsikan untuk mengabadikan pengalaman.

Sebenarnya tidak dapat aku pastikan dengan tepat jatuhnya tanggal 1 Ramadhan ketika kali pertama menjalaninya. Tapi yang pasti, aku berpuasa untuk kali pertamanya di Depok, Jawa Barat pada tahun 1990. Ketika itu aku berada di semester ke-2, rasanya belumpun sampai setahun aku berada di Indonesia.

Ketika itu masih menjadi ingatan jika di tanah air, setiap kali menjelang 1 Ramadhan, Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja Melayu akan membuat pengisytiharan dan pengumuman tarik bermulanya puasa setelah mendapat keputusan melihat anak bulan. Tapi itu tak berlaku di sini, tak ada pengumuman seperti itu, tapi kami akan segera dapat mengetahui apabila aktiviti di masjid-masjid menjadi meriah sekali. Warga masyarakat begitu ghairah menyambut ketibaan Ramadhan, lebih meriah jika dibandingkan pesta menyambut ketibaan Syawal.

Pengalaman pertama menyambut ketibaan Ramadhan di sini ialah perbezaan tarikh berpuasa. Ada warga yang merupakan pengikut aliran ‘Muhammadiyah’ puasanya awal sehari, mengikut hari berpuasa sama seperti di Tanah Suci Mekah. Warga yang menjadi pengikut ‘Nahdatul Ulama (NU) pula berpuasa keesokkan harinya kerana berpandukan Rukyah dan Hisab Ulama Sufi, sama seperti kita di Malaysia.

Keadaan ini memang sudah menjadi hal yang biasa di sini, tetapi sesuatu yang baru bagi orang seperti kami. Apa tidaknya, susah nak memilih yang mana pasti, maklum saja ketika itu ilmu agamaku masih dangkal dan cetek sekali.

Tapi akhirnya aku memilih untuk berpuasa awal sehari, mengikut keluarga Pak Niin, keluarga angkatku di sini, pengikut ‘Muhammadiyah’. Tapi ada juga kalangan rakan-rakanku yang memilih jalan ‘selamat’ berpuasa lewat iaitu pada hari berikutnya. Tapi itu bukan pokok persoalannya, tapi bagiku yang penting kita ikhlas melaksana dan mengerjakan ibadah dan terus mencari keredhaan Allah.

Beberapa hari sebelum menjelang hari untuk berpuasa, tepatnya menjelang tibanya Ramadhan, suasana di Depok menjadi sangat meriah seperti bakal menyambut kedatangan hari yang sangat bersejarah. Mungkin saja sebabnya penduduk asal di sini hampir 99% beragama Islam, sama banyak dengan jumlahnya di kampong asalku di Malaysia. Setiap isi rumah begitu sibuk membuat persiapkan kelengkapan, membersih dan mencuci halaman. Tidak cukup dengan itu warga kampong bergotong-royong membersihkan masjid dan sekitarnya termasuk tanah perkuburan turut menjadi tumpuan untuk dibersihkan.

Menurut Pak Niin, bapa angkatku, Ramadhan itu bulan ibadat, bulan yang sangat ditunggu-tunggu untuk mencari keredhaan Allah. Bulan di mana kita berpeluang untuk melipatgandakan amalan…, bulan di mana setiap amalan yang dikerjakan dibalas dengan berlipatkali ganda ganjaran pahalanya. Oleh itu ianya diraikan, kita berpesta mengerja dan melakukan ibadah siang dan malam…., berpesta mengumpul pahala…, kerana setiap amalan ada hitungannya, setiap amalan ada ganjaran pahala yang berganda.

Sehari sebelum berpuasa, setiap isi rumah mengadakan majlis kunjung mengunjung dari rumah-ke rumah. Setiap warga kampong mengadakan majlis bacaan Yasin dan Tahlil sebagai menyambut Ramadhan yang bakal datang esok hari. Sesudah membaca Yasin dan bertahlil, tetamu saling menghulurkan tangan bermaaf-maafan sambil tuan rumah menjamu pelbagai juadah. Kemudian jemaah bergerak ke rumah-rumah yang lain untuk memenuhi acara yang sama, sehinggalah selesai semua rumah dikunjungi. Suasana itu kalau di Malaysia hanya dilakukan pada 1 Syawal, ketika kita meraikan hari raya selepas sebulan berpuasa.

Sebelah petang menjelang Asar, sudah ramai yang berpusu-pusu ke Masjid, yang muda, yang tua, kaum ibu dan kaum bapa, tiada yang terkecuali mengumarahkan masjid bersolat berjamaah, kemudian dilanjutkan dengan tazkirah dan berselawat.

Menjelang waktu Maghrib, lebih ramai lagi jumlahnya yang berpusu-pusu ke masjid untuk berjamaah. Ahli jamaah berlipatkali ganda dari biasa, hingga didirikan tenda atau khemah kerana ruangan dalam masjid tak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang begitu ramai.

Menjelang waktu Isya’, jemaah yang datang semakin bertambah. Lagak datangnya seperti ada acara besar yang akan berlansung. Tua, Muda, kecil, besar, lelaki dan perempuan, semuanya tidak mahu melepaskan peluang untuk berebut membuat amalan, menuaikan solat berjamaah mencari keredhaan.

Selepas selesai melaksanakan solat Isya’ , jamaah dihidangkan dengan ‘kuliah tujuh minit’(Kultum). Kini giliran anak-anak muda diberi kesempatan untuk menampilkan ilmu dan bakat kepimpinan mmenyampaikan ilmu untuk dikongsikan. Ini juga satu cara untuk melatih golongan muda-mudi menjadi pemimpin yang bakal meneraju ummah di masa hadapan.

Selesai ‘Kultum’, solat Tarawih dan dilanjutkan dengan solat Witir berjamaah. Suasana masjid menjadi sangat meriah dan bercahaya kerana ramainya jamaah, mengerjakan ibadat dengan khusuk dan tawaduk.

Selesai bertarawih, dilanjutkan dengan tadarus al-Quran. Ibadah malam terus dilanjutkan sehingga ke pagi dengan pelbagai pengisian. Masjid menjadi tempat tumpuan terutama anak-anak muda yang ghairah mencari keberkatan.

Pengalaman bersahur, juga merupakan satu lagi yang menarik untuk dikongsikan. Menjelang waktu bersahur ada saja di kalangan anak-anak muda dan penduduk kampong yang akan berjalan ke keliling kampong mengejutkan tetangga untuk bangun bersahur. Pelbagai cara yang dilakukan, ada yang mengetuk tong, kayu dan apa saja yang boleh menghasilkan bunyian. Di samping ketukan, mereka berteriak melaungkan ‘sahur…sahur…sahur…sahur..” tak henti-henti sehingga penghuni rumah bangun baru mereka pergi.

Pengalaman melalui dan mengalami situasi ini membuatkan suasana bangun sahur menjadi sangat meriah sekali. Tidak ada istilah ada di kalangan warga yang akan terlepas untuk bersahur, kerana ada saja yang secara sukarela akan mengejut dan membangunkan mereka.

Hari pertama puasa juga ada cabarannya. Di sini tidak seperti di Malaysia, menjelang hari berpuasa di tempat kita semua kedai makan tutup bagi menghormati umat Islam berpuasa. Tapi di Depok lain halnya, gerai-gerai makan tetap dibuka seperti biasa, sesiapa saja boleh bertandang untuk makan dan tak ada siapa yang akan mencegahnya. Apalagi kalau sudah di kampus, anak-anak mahasiswa yang tak berpuasa akan duduk makan dan minum di mana-mana sahaja. Warung dan kantin dibuka macam hari-hari biasa, kalau tak kuat iman ikut tergoda kita jadinya.

Tapi yang kuat pegangan iman dan agamanya. Tidak akan melepaskan hari dengan begitu saja. Mahasiswa berkumpul di mana-mana sahaja, baik di masjid, surau (musholah) atau saja di bilik kuliah. Aktiviti berdiskusi bedah buku tentang Islam, tafsir al-Quran dan apa saja aktiviti yang dapat mendekatkan diri dengan iman dan Islam dijadikan amalan dan pengisian. Sehingga perjalanan seharian jadi tak terasakan, puasa yang kerjakan tak terasa apa-apa, tahu-tahu saja dah sampai waktu berbuka.

Waktu menjelang berbuka tak ada yang istimewa. Di sini tak terdapat pasar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah kuih muih dan beraneka jenis makanan untuk santapan waktu berbuka. Di sini tak seperti di Malaysia, menjadi meriah menjelang waktu berbuka. Keadaan di sini seperti hari-hari biasa, juadah berbuka ala kadar saja. Cukup nasi berlauk seperti biasa, kalau lainpun cuba ada korma buat juadah pembuka selera ketika berbuka.

Selepas berbuka suasana menjadi meriah semula. Berpusu-pusu semua warga menuju ke masjid untuk solat berjemaah dilaksana. Macam pesta suasana jadinya, rutin biasa mengisi ibadah malam, menggambarkan istimewanya bulan Ramadhan, penghulu segala bulan.

Itulah antara keistimewaan bulan Ramadhan di Tanah Seberang. Keinginan untuk beribadat sangat terasa sekali, hari-hari yang dilalui terasa tak mahu dilepas pergi…, mengejar ganjaran dan pahala yang dijanji….,mencari keredhaan dari Ilahi…, semoga segala amalan diterima dan mendapat keberkatan.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadhan. Semoga segala amalan yang kita laksanakan akan diterima dan mendapat segala ganjaran seperti yang dijanjikan. Semoga Allah s.w.t memberkati segala yang telah kita laksana dan kerjakan.

Teratak Shamida…

22 Ogos 2011.

No comments: