Saturday 28 July 2012

Catatanku....“Hanya Jauhari yang mengenal manikam”





          Mentari agak suram hari ini. Sepertinya memberi petanda akan turun hujan membasahi bumi yang dapat menyegarkan kembali pohon-pohon dan rumput-rumput hijau yang sudah hampir sekian lama tidak disirami air. Tentu sekali, jika hujan turun hari ini, pohon kembang di taman akan kembali tampak ceria, rumput di padang akan kembali segar dan pohon sayur di kebun akan tampak subur menawan hati. Tapi, itu semua hanya jangkaan, belum pasti terjadi jika hujan yang dinanti tidak turun seperti yang dihajati. 



          Itulah lumrah dalam kehidupan. Kita selalu mengharapkan sesuatu yang indah dan terbaik, walaupun sebenarnya terpaksa menunggu dengan penuh kesabaran,  tanpa ada kepastian. Kesamaran selalu menyelubungi hari-hari yang berlalu, tapi akan selalu ada harapan…, kerana harapan akan selalu hadir selagi ada sinar yang menerangi hari-hari yang datang dan pergi.

          Setiap insan yang hadir di dunia inginkan sebuah kehidupan yang sempurna. Kesempurnaan sering dikaitkan dengan keberhasilan dan kejayaan. Tetapi sukar untuk dipastikan, apalagi dimengerti sejauhmana kepuasan yang diperolehi jika kita berhasil menikmatinya.


          Menikmati kehidupan yang sempurna akan berbeza taksirannya mengikut keinginan dan kemahuan. Kemahuan kita sebagai insan yang bernama manusia tidak akan ada batas sempadannya. Setiap orang menginginkan kejayaan dan kebahagiaan, tetapi bagaimana cara dan apakah situasi sebenarnya yang membahagiakan seseorang itu hanya dia sendiri yang lebih mengetahuinya. Apa yang pasti, semua kita menginginkan kejayaan, kecemerlangan, kekayaan, kecantikan dan sanjungan. Seseorang akan dianggap ‘success’ dalam hidupnya, apabila dia sering disanjung dan diagung-agungkan oleh semua. Mungkin situasi inilah yang dikatakan memiliki kejayaan dan kesempurnaan hidup. Tapi erti dan hakikat sebenarnya masih samar dan menjadi tanda tanya. Apa yang pasti mungkin pepatah Melayu ini mungkin punya jawapannya…. “Hanya Jauhari yang mengenal manikam”

          ”Merekalah  seumpama jauhari yang mengenal manikam:”. Hanya tukang batu permata yang dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Hanya tukang emas yang dapat menilai emas manakah yang asli dan palsu,ia berbeza walaupun kilaunya mungkin tampak serupa. Hanya para solihin dan para muttaqinlah yang lebih mendamba kenikmatan kehidupan akhirat, berbanding nikmat dunia yang terlalu sedikit itu. Fahamilah wahai diri……….


Maka begitulah perumpamaan mereka yang merasakan alam dunia ini hanyalah tempat bermusafir sebentar cuma. Dunia ini hanyalah check point persinggahan. Mereka tak ingin berlama-lama kerana di dunia ini bukannya tempat berehat, bersenang-senang dan tempat tidur yang sebenarnya. Mereka rindu kepada ‘mahligai’ yang kekal di negeri abadi sana dan terlalu ingin untuk melihat segala bentuk ‘perhiasan’ dan kenikmatan di mahligai tersebut dari pahala solat, pahala puasa, pahala qiyamulail, pahala sedekah, pahala zakat, pahala jihad, pahala zikir, pahala selawat, pahala membaca al-quran, pahala cinta (pada yang haq), pahala sabar dan sebagainya. Bagaimana ya rupanya? Mereka terlalu rindu kepada negeri akhirat dan tergiur dengan kenikmatan syurga. Syurga yang mana kenikmatannya tidak pernah dilihat oleh mata. tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati.

Apakah kesempurnaan yang harus kita pilih?

Bagaimana wahai diri? Bagaimana dengan kita?

Fahamilah hanya jauhari yang mengenal manikam.


Samsul Kamil Osman
Teratak Shamida

9 Ramadhan 1433/29 Julai 2012




Wednesday 25 July 2012

Coretan Mahasiswa Universitas Indonesia



Pucuk pauh delima batu
Anak Sembilang di tapak tangan
Walaupun jauh beribu batu
Dekat di hati dilupa jangan

Buah Perada dari Jawa
Berserta lada milik baginda
Duhai kanda belahan jiwa
Tanpa kanda tersiksalah jiwa

Ikat benang di pucuk Pauh
Pucuk Pauh di dalam dulang
Rindu mengenang orang jauh
Orang jauh bila kan pulang

Pucuk Mengkudu dipetik perindu
Sambil menyusun perhati rerama
Kekanda rindu dindapun rindu
Rindu berpantun bersama-sama

            Mendengarkan bait-bait pantun di atas,  seolah-olah menggamit kembali memori dan kenangan indah ketika berada di perantauan suatu ketika dahulu. Kenangan terindah yang tidak mungkin dapat terluput dari ingatan walau telah sekian lama masa berlalu. Masa berjalan dan terus berlalu tidak akan pernah berhasil memadamkan walau sedetik apa yang pernah dirakam sebagai sejarah manis menelusuri jalan menimba ilmu dan pengalaman di perantauan.

            Sejak kebelakangan ini sering timbul perselisihan dan kesalahfahaman mengenai beberapa isu yang mula menggugat dan mengeruhkan suasana harmoni hubungan di antara ‘dua bangsa serumpun’ Malaysia dan Indonesia. Sering kali apabila timbul perselisihan dan pergolakan yang mengeruhkan suasana hubungan harmoni kedua bangsa ini, maka di dada akhbar dan media eletronik akan tersebar berita yang tidak hanya akan dapat memulihkan keadaan, tetapi sebaliknya lebih banyak mengeruhkan lagi keadaan. Suasana tegang semakin memuncak apabila media dari kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain, mencari punca kesalahan dan tidak ada usaha untuk mencari kebenaran yang sebanar dan sewajarnya.

            Rasa terpanggil untuk menulis bukan berniat untuk mengeruhkan lagi keadaan, tetapi sangat merasa dirugikan apabila melihat dua bangsa serumpun ini sering dicemari oleh pergolakan yang sering menguris hati kedua-dua pihak.

            Saya mungkin salah seorang yang sangat beruntung kerana pernah diberi kesempatan untuk menimba ilmu, malah dalam masa yang cukup panjang menimba pengalaman belajar di Republik Indonesia. Satu penghargaan yang besar apabila berjaya menempatkan diri di salah sebuah Universiti tersohor di negera Seberang. Universitas Indonesia, satu nama yang cukup besar dan sangat senonim dengan dunia pendidikan di Indonesia. Tambah manis lagi apabila berpeluang mendalami bidang sejarah Indonesia, bidang yang sebenarnya sangat besar cabarannya buat saya sebagai seorang yang bukan berasal dari warganegara  Republik Indonesia. Tetapi melalui pengalaman tersebut, banyak sekali ilmu dan pengalaman yang bermaanfaat yang dapat ditimba, dikumpul dan difahami sebagai asas memahami perjalanan sejarah bangsa Indonesia. Dalam masa yang sama, melalui pengalaman menimba ilmu mempelajari sejarah bangsa Indonesia ini membuatkan saya sebagai mahasiswa asing yang berkesempatan menuntut ilmu di Indonesia boleh melihat lebih objektif bagaimana sebenarnya perjalanan sejarah bangsa Indonesia dan pertaliannya dengan sejarah bangsa Malaysia.

            Melalui pengalaman menimba ilmu bermula dari rentetan Sejarah Zaman Kuno (Pra Sejarah) sehinggalah ke sejarah Zaman Pasca Merdeka, tentu sekali bukan sedikit untuk dimengerti dan difahami. Proses pembelajaran yang memakan masa hampir lebih lima tahun untuk menamatkan pengajian Sarjana Sejarah bukan cukup mudah dan memerlukan daya uasaha dan tingkat kesabaran yang cukup tinggi. Tapi bukan itu yang menjadi persoalan untuk diungkapkan di sini. Perkara pokok yang menjadi topik pembicaraan di sini ialah sejauhmanakah pengetahuan sejarah dapat memperbetulkan persepsi dan penilaian kita terhadap bangsa. Apalagi bila kita digembar-gemburkan sebagai suatu bangsa yang serumpun. Sejauhmana kebenaran pernyataan tersebut? Atau ianya hanya sebagai satu retorika yang menjadi ‘pemanis kata’ untuk menunjukkan keakraban, tetapi sebenarnya masih ada perasaan yang tersimpul di sebalik ungkapan kata tersebut.

            Apa sekalipun yang berlaku dan telah berlaku, kita tidak dapat menolak fakta sejarah yang menunjukkan kedua bangsa serumpun ini mempunyai hubungan yang sangat erat sejak dari dahulu kala lagi. Bila kita mengungkap kembali catatan sejarah silam, menelusuri zaman-zaman keagungan Kerajaan Melayu Nusantara, maka tidak akan menolak kemungkinan pertalian sejarah kedua bangsa serunpun ini akan ditemukan. Malah sebenarnya, pertalian ini bukan sekadar hubungan biasa-biasa, tetapi tercatat adanya pertalian darah dan persaudaraan yang cukup rapat. Saya tidak bermaksud untuk menyingkap kembali sejarah hubungan itu secara ilmiah di sini, mungkin ada di kalangan ilmuan dan sejarawan dari kedua-dua bangsa serumpun ini yang lebih arif untuk membicarakannya nanti. Tapi cukup saya katakan, pertalian sejarah masa lalu kedua-dua bangsa ini harus ditelusuri sehalus-halusnya supaya kita akan dapat memahami dan menghargai kembali persaudaraan dan ikatan kekeluargaan di antara kita.

            Sebelum mengundur diri untuk sementara waktu, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan teman-teman yang telah membantu untuk saya mengenal erti sebenar pengertian sejarah yang sebenarnya. Kepada guru-guru dan teman-teman di FSUI (sekarang dikenali sebagai Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Indonesia), terima kasih kerana memberi kesempatan untuk saya memahami sejarah bangsa Indonesia. Sebenarnya tidak ada banyak bedanya, kita hanya di batasi dan dipisahkan oleh dua bangsa penjajah yang berbeda yang sebenarnya telah sukses melaksanakan politik ‘pecah perintah’ mereka. Sejarah sebenarnya adalah ubat yang paling berkesan untuk memulihkan kembali penyakit yang sedang merebak dan menjadi ‘virus’ yang boleh merosakkan hubungan dan persaudaraan di antara dua bangsa serumpun ini. Oleh itu sebagai Sarjana yang terdidik, marilah kita sama-sama membantu menjanakan kembali pengetahuan dan pengertian supaya generasi masa hadapan kita akan dididik dengan sejarah yang betul dan bermanfaat.

Samsul Kamil Osman
Sarjana Sejarah
Universitas Indonesia
Angkatan ‘89
 27 July 2012