Saturday 28 July 2012

Catatanku....“Hanya Jauhari yang mengenal manikam”





          Mentari agak suram hari ini. Sepertinya memberi petanda akan turun hujan membasahi bumi yang dapat menyegarkan kembali pohon-pohon dan rumput-rumput hijau yang sudah hampir sekian lama tidak disirami air. Tentu sekali, jika hujan turun hari ini, pohon kembang di taman akan kembali tampak ceria, rumput di padang akan kembali segar dan pohon sayur di kebun akan tampak subur menawan hati. Tapi, itu semua hanya jangkaan, belum pasti terjadi jika hujan yang dinanti tidak turun seperti yang dihajati. 



          Itulah lumrah dalam kehidupan. Kita selalu mengharapkan sesuatu yang indah dan terbaik, walaupun sebenarnya terpaksa menunggu dengan penuh kesabaran,  tanpa ada kepastian. Kesamaran selalu menyelubungi hari-hari yang berlalu, tapi akan selalu ada harapan…, kerana harapan akan selalu hadir selagi ada sinar yang menerangi hari-hari yang datang dan pergi.

          Setiap insan yang hadir di dunia inginkan sebuah kehidupan yang sempurna. Kesempurnaan sering dikaitkan dengan keberhasilan dan kejayaan. Tetapi sukar untuk dipastikan, apalagi dimengerti sejauhmana kepuasan yang diperolehi jika kita berhasil menikmatinya.


          Menikmati kehidupan yang sempurna akan berbeza taksirannya mengikut keinginan dan kemahuan. Kemahuan kita sebagai insan yang bernama manusia tidak akan ada batas sempadannya. Setiap orang menginginkan kejayaan dan kebahagiaan, tetapi bagaimana cara dan apakah situasi sebenarnya yang membahagiakan seseorang itu hanya dia sendiri yang lebih mengetahuinya. Apa yang pasti, semua kita menginginkan kejayaan, kecemerlangan, kekayaan, kecantikan dan sanjungan. Seseorang akan dianggap ‘success’ dalam hidupnya, apabila dia sering disanjung dan diagung-agungkan oleh semua. Mungkin situasi inilah yang dikatakan memiliki kejayaan dan kesempurnaan hidup. Tapi erti dan hakikat sebenarnya masih samar dan menjadi tanda tanya. Apa yang pasti mungkin pepatah Melayu ini mungkin punya jawapannya…. “Hanya Jauhari yang mengenal manikam”

          ”Merekalah  seumpama jauhari yang mengenal manikam:”. Hanya tukang batu permata yang dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Hanya tukang emas yang dapat menilai emas manakah yang asli dan palsu,ia berbeza walaupun kilaunya mungkin tampak serupa. Hanya para solihin dan para muttaqinlah yang lebih mendamba kenikmatan kehidupan akhirat, berbanding nikmat dunia yang terlalu sedikit itu. Fahamilah wahai diri……….


Maka begitulah perumpamaan mereka yang merasakan alam dunia ini hanyalah tempat bermusafir sebentar cuma. Dunia ini hanyalah check point persinggahan. Mereka tak ingin berlama-lama kerana di dunia ini bukannya tempat berehat, bersenang-senang dan tempat tidur yang sebenarnya. Mereka rindu kepada ‘mahligai’ yang kekal di negeri abadi sana dan terlalu ingin untuk melihat segala bentuk ‘perhiasan’ dan kenikmatan di mahligai tersebut dari pahala solat, pahala puasa, pahala qiyamulail, pahala sedekah, pahala zakat, pahala jihad, pahala zikir, pahala selawat, pahala membaca al-quran, pahala cinta (pada yang haq), pahala sabar dan sebagainya. Bagaimana ya rupanya? Mereka terlalu rindu kepada negeri akhirat dan tergiur dengan kenikmatan syurga. Syurga yang mana kenikmatannya tidak pernah dilihat oleh mata. tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati.

Apakah kesempurnaan yang harus kita pilih?

Bagaimana wahai diri? Bagaimana dengan kita?

Fahamilah hanya jauhari yang mengenal manikam.


Samsul Kamil Osman
Teratak Shamida

9 Ramadhan 1433/29 Julai 2012




No comments: