Wednesday 1 August 2012

Catatan Perjalananku - Part 1





Puji dan syukur kehadrat Allah SWT di atas limpah dan kuniaNya kita dapat berdiri megah dan gagah hari ini. Kesyukuran juga dipanjatkan kerana rahmat dan hidayah-Nya dapat mencapai impian menjadi insan yang dapat menyumbang bakti mendidik anak bangsa. Menjadi insan bergelar ‘GURU’ . Sesungguhnya menjadi pendidik merupakan cita-cita yang telah lama tertanam dan ingin aku realisasikan sebagai memenuhi harapan dan impian almarhumah ibuku yang tercinta.

            Sekarang harapan dan hasrat ibu telah berjaya aku tunaikan, walaupun satu ketika dulu terasa terlalu tinggi sekali harapan yang diletakkan oleh ibu terhadap diri ini. Bukan aku tidak mahu menjadi guru, bukan juga kerana aku mempunyai impian lain yang ingin dikejar….tetapi aku rasakan menjadi guru terlalu tinggi untuk aku capai. “Guru” terlalu hebat di mataku….., aku takut akan menghampakan harapan ibu…apalagi hasrat ibu yang terlalu tinggi, ingin melihat salah seorang anaknya menjadi insan yang dapat berbakti kepada anak bangsa. Ibu ingin sekali aku menebus anggapan dan pandangan negatif sesetengah ahli keluarga kami. Keluarga kami selalu dipinggirkan hanya kerana taraf  ekonomi keluarga yang tidak seberapa, ditambah lagi latar belakang pendidikan ayah dan ibuku yang tidak seberapa, malah tidak pernah mendapatkan pendidikan secara formal di sekolah.


            Sesungguhnyan kedaifan hidup dan jerih perit yang dilalui oleh kedua orangtua kami membuatkan aku insaf. Hasrat yang tinggi untuk membela nasib keluarga dan menebus impian ibu membuatkan aku tekad belajar dan terus belajar, walaupun ada ketikanya aku lemas dan hanyut dibawa arus.

Mengimbas kembali zaman persekolahan, bermula dari pendidikan rendah, aku bukanlah seorang pelajar yang berpotensi dan menjadi perhatian guru. Aku sering terkebelakang dalam semua bidang. Mungkin faktor latar belakang kami yang datang dari keluarga yang daif menyebabkan aku merasa rendah diri dan sukar untuk bergaul. Ada kalanya ketika itu, aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan di sekolah. Sekolah bagiku hanya tempat persinggahan dan tidak memberi makna apa-apa. Aku sukar dan rasa malu untuk berkawan, apalagi rata-rata kawan-kawan di kelas ketika itu datang dari kalangan keluarga yang sederhana dan anak orang berada. Rasa rendah diri yang teramat dan keterlaluan itu menyebabkan aku menjadi seorang pelajar yang pasif dan sukar untuk berfikir secara positif bila melalui proses pembelajaran. Akhirnya aku menjadi pelajar yang sering ketinggalan di dalam kelas.


            Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II Kuala Kangsar (SKSI II), itulah sekolah pertama yang aku jejak untuk mengharungi alam persekolahan. SKSI II salah sebuah sekolah yang tersohor di Kuala Kangsar, apalagi sekolah ini terletak bersebelahan dengan sekolah yang terhebat di negara kita, iaitu Maktab Malayu Kuala Kangsar.  Maktab Melayu Kuala Kangsar terkenal. Bukan sahaja kerana namanya, tapi sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh-tokoh negarawan yang ternama dari dahulu sehinggalah sekarang.


Berada di sekolah yang hebat tidak sedikitpun memberi kesan yang bermakna buat diriku. Aku tetap sahaja seorang pelajar yang bersahaja dan tidak pernah berfikir untuk menjadi pelajar yang Berjaya. Bagi aku, hadir ke sekolah hanya untuk mengisi masa di samping untuk melunaskan tanggungjawab seorang anak kepada orangtua yang mahukan anak mereka belajar dan tidak membuang masa duduk di rumah. Walaupun pada hari pertama dihantar ke sekolah, ibu dan ayah sempat berpesan supaya aku gigih belajar agar menjadi insan yang berguna. Tapi aku tetap bersahaja, bagiku orang miskin seperti keluarga kami tidak akan mampu untuk berjaya lebih tinggi, apatah lagi hambatan hidup dalam serba kekurangan menyebabkan aku selalu ketinggalan, terutama dalam menyediakan peralatan untuk belajar. Aku tidak mampu memiliki alat-alatan belajar seperti rakan-rakan lain, malah sering kali aku didenda guru kerana tidak mampu menyediakan buku untuk menulis.

Sukar untuk diterima akal, ingin membeli buku tulispun ketika itu aku tak mampu. Tapi itulah hakikat yang harus aku telan. Itulah juga yang menjadi faktor, aku malu dengan rakan-rakan dan guru-guru. Apa lagi ada kalanya ketika itu terdapat guru-guru yang sering mempersendakan aku. Bagi aku, hal itu perkara biasa, kerana sebagai orang yang datang dari keluarga yang miskin, akau harus redha menerima apa saja yang dikatakan oleh orang lain. Itu juga yang sering diingatkan oleh ibu kepadaku setiap kali sebelum melangkah ke luar dari rumah menuju ke sekolah. Mungkin sebab itu jugalah mengapa ibu sering meletakkan harapan yang tingi buat kami anak-anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh dan keluar dari belenggu kemiskinan apabila dewasa kelak.

Mengimbas kembali kenangan zaman berada di sekolah rendah, sebenarnya sungguh istimewa untuk aku kenangkan kembali. Masih terbayang, bagaimana setiap pagi aku dan abang-abangku akan bangun seawal  jam 5.00 pagi. Dalam keadaan rumah yang jauh di pendalaman dan tidak mempunyai kemudahan elektrik maupun bekalan air paip, di samping terpaksa pula bergantung kepada pelita minyak tanah dan air perigi. Dalam kedinginan pagi, aku terpaksa mandi di perigi yang airnya sangat dingin dan sering kami menggigil sebaik selepas mandi pada waktu dini hari. Tapi itu sudah menjadi kebiasaan dan tak mungkin akan dirasakan oleh anak-anak pelajar zaman sekarang.

Melangkah ke sekolah dalam cahaya yang masih gelap dan suram. Kami tidak mampu untuk dibekalkan dengan wang saku oleh ibu, oleh itu untuk ke sekolah harus memilih berjalan kaki menelusuri  jalan raya dan meredah ‘Padang Polo’ sebagai laluan pintas dari rumah ke sekolah. Jarak yang ditempuh  kurang lebih 25 km bukan terlalu jauh bagi kami kerana sudah terbiasa berjalan kaki. Sesungguhnya tidak hairan kemudian nanti aku dan abang-abangku mewarisi bakat dan mengungguli acara larian jarak jauh setiap kali berlangsungnya kejohanan olahraga di sekolah.

Apapun yang kami lalui, semua itu tidak pernah membuatkan aku berputus asa dan menyalah nasib yang menimpa.  Bagi diriku, itu antara takdir yang harus dilalui, dan aku pasrah dengan ketentuan Illahi. Tapi mungkin kerana terlalu muda dan masih belum dapat berfikir secara matang, keinginan untuk belajar bersungguh-sungguh masih tidak dapat aku laksanakan. Tetapi masih sahaja aku menjadi seorang pelajar yang pasif dan kurang memiliki daya usaha untuk mencipta kejayaan. Sering kali dalam peperiksaan aku akan jauh ketinggalan jika dibandingkan dari rakan-rakan yang lain, malah sering kali juga aku berada di kedudukan tercorot  di dalam kelas.

Sehingga tamat belajar di sekolah rendah, kemampuanku dalam pelajaran sangat sederhana. Aku tahu, ibu dan abah mungkin sangat kecewa kerana anak-anak mereka gagal berprestasi baik dalam pelajaran. Mungkin saja ketika itu aku menyalahkan factor kemiskinan keluarga yang menyebabkan kami tidak berprestasi. Tapi aku sedar, ibu dan abah telah berusaha memberi yang terbaik dan apa yang termampu. Tapi semuanya belum cukup untuk memenuhi keperluan kami anak-anaknya ketika itu. Masakan kami boleh belajar dengan baik, sedangkan yuran sekolah dan membeli alat keperluan untuk belajar saja kami belum mampu seperti rakan-rakan lain. Ada kalanya kami ke sekolah hanya beralaskan air teh tidak bergula atau saja air putih tanpa mencicipi sarapan pagi seperti anak-anak lain. Bagaimana mahu belajar dengan baik, kerana pemakanan sebenarnya memainkan peranan penting untuk melahirkan minda yang sihat.

Tapi satu yang aku sangat bangga dengan apa yang telah ibu dan abah tunaikan terhadap kami ialah, walaupun dalam kesusahan dan kepayahan, kami tetap diberi ruang dan peluang untuk meneruskan alam persekolahan. Pesan ibu yang masih aku ingat sehingga kini.:

“Mak hanya mampu membekalkan pelajaran dengan menghantar kalian ke sekolah. Mak tak mampu beri harta dan kekayaan . Jika kalian ingin menjadi orang yang dipandang mulia dan berharta, carilah  dengan belajar bersungguh-sungguh. Mana tahu ditakdirkan tuhan nanti ada anak mak yang akan berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan terpelajar dan berjawatan tinggi. Kalau panjang umur bolehlah mak menumpang tuah kamu nanti. Paling tidak mak akan berbangga kerana ada di antara kamu yang akan menebus maruah keluarga dan mengenepikan kata orang yang mak tak mampu dan tak pandai mendidik anak-anak. Buktikan walaupun abah dan mak buta huruf, bukan bermakna kalian anak-anak mak tak mampu belajar hingga ke hujung dunia”

Itulah antara pesanan ibu yang akan terus terpahat dan akan aku abadikan buat selama-lamanya. Pesanan itu jugalah yang menjadi pencetus untuk aku menggapai impian mengejar kejayaan sehingga akhirnya berjaya melangkah kaki ke menara gading. Sesungguhnya aku sedar, kemiskinan bukan alasan untuk kita tidak mampu meraih kejayaan, tetapi mungkin sahaja kemiskinan akan menjadikan kita orang yang tidak akan berputus asa dalam mengejar impian.

Walaupun terlewat mengecapi kejayaan, tetapi aku bangga kerana dapat menunaikan hasrat ibu dan abah yang ingin melihat anak mereka berjaya sebelum menutup mata.

Buat almarhumah bonda tercinta Jaleha bt. Atim dan almarhum ayahanda Osman bin Ibrahim, terima kasih kerana telah membesar dan memberi didikan yang sempurna buat anakanda. Doa kami anak-anakmu semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh kalian. Semoga kalian berdua ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin…….Al-Fatihah…..


SAMSUL KAMIL BIN OSMAN
Teratak Shamida,
Baling, Kedah……

01 Ogos 2012

No comments: